Tuanku Muhriz berkenan rasmi Kompleks Islam Tuanku Muhriz

//Tuanku Muhriz berkenan rasmi Kompleks Islam Tuanku Muhriz

NILAI, 4 Oktober 2017 – Selepas Perasmian Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi melakar sejarah baharu dengan Majlis Perasmian Kompleks Islam Tuanku Muhriz yang sempurnakan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Kompleks Islam ini menjadi mercu tanda baharu kebanggaan warga USIM dan telah mula digunakan oleh warga kampus sejak awal Ramadan lalu. Ia dibina di tapak strategik iaitu di antara Bangunan Canselori dan Perpustakaan yang merupakan perlambangan kepada USIM sebagai sebuah Universiti Islam yang sentiasa memastikan elemen tadbir urus dan dasarnya (Canselori) dilaksanakan berdasarkan pertimbangan nilai keilmuan (Perpustakaan) dan bertunjangkan Al-Quran dan Sunnah (Pusat Islam).

Projek pembangunannya bermula semula pada 2 Jun 2014 dengan peruntukan pembinaan yang diluluskan dalam RMK-10 sebanyak RM29 juta. Berkeluasan 6,526 meter persegi, ia mempunyai ruang solat utama (Aras 1) dan wanita (Aras 2) yang berkapasiti memuatkan 4,000 jemaah pada satu-satu masa. Antara kemudahan lain di aras 1 adalah pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik imam, bilik VIP, bilik pengurusan jenazah dan kaunter zakat.

Penyerahan Kompleks Islam dibuat secara rasmi kepada universiti pada 22 Mei 2017. Kemudiannya, ia digunakan secara rasmi pada 26 Mei 2017 bersamaan malam 1 Ramadan 1438H yang membolehkan para jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih selain turut diimarahkan dengan kuliah Zohor, majlis berbuka puasa dan tadarus sepanjang bulan Ramadan.

Pengisytiharan kebenaran Solat Jumaat yang dibuat oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan secara rasminya membolehkan solat Jumaat dilaksanakan pada 2 Jun 2017 seterusnya pada 9 Jun 2017 Kompleks Islam telah menampilkan inovasi dalam penyampaian Khutbah Solat Jumaatnya apabila penyampaian teks khutbah oleh khatib turut dibantu dengan terjemahan bahasa isyarat secara langsung oleh siswa USIM. Ia dilaksanakan sebagai inisiatif USIM bagi memastikan golongan cacat penglihatan memahami apa yang disampaikan.

Dibina pada tapak asalnya dengan beberapa perubahan reka bentuk dilakukan untuk kesesuaian semasa, Kompleks Islam ini sedikit sebanyak telah merancakkan aktiviti dan agenda Islam di dalam kampus dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam sekitar khususnya Nilai seperti menjadi masjid untuk Solat Jumaat, kuliah agama, kelas bimbingan Fardhu Ain, kelas pengajian Al-Quran, program Liqa’, pengajian kitab Thurath dan pelbagai pengisian program bermanfaat kepada masyarakat setempat.

Pada majlis yang sama, USIM turut mengambil peluang melancarkan sebuah buku khas terbitan USIM yang berjudul ‘Merintis Kampus Barakah’. Buku setebal 130 muka surat ini mengupas perjalanan penubuhan 17 tahun USIM yang akan menjadi panduan kepada warga USIM untuk merealisasikan hasrat menjadi Kampus Barakah. Ia mengetengahkan Konsep 7i dalam Merintis Kampus Barakah USIM iaitu budaya Iqra’, Internationalisation, Intervensi terhadap revolusi perindustrian, Impak terhadap Ummah, Interaksi atau hubungan universiti dengan pelbagai sektor dan peringkat, Insan yang terbina daripada amalan integrasi ilmu naqli dan aqli, budaya Iqra’ dan berpandukan qalbu, Integrasi ilmu naqli dan aqli.

Selesai majlis perasmian, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tetamu utama di bawa melawat tapak pameran meliputi penerangan Program Liqa’, simulasi pengajian kitab, simulasi pengajaran Quran bagi kumpulan OKU penglihatan, pendengaran dan pembelajaran, pelancaran projek wakaf Quran Isyarat, penerangan permainan berkonsepkan “board game” iaitu Muamalat Interactive Game (MIG) serta lawatan di sekitar Kompleks Islam Tuanku Muhriz yang diketuai oleh YBhg Dato’ Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan Dr. Khairul Anuar, Pengarah Pusat Islam USIM.

 

 

Sedikit Informasi:

-Program Liqa’
Liqa’ bermaksud pertemuan dan dalam konteks USIM, semua mahasiswa dari semester 1 hingga 6 akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menghayati Syariah Islamiah secara konsisten. Penglibatan pelajar diukur iaitu minimum tujuh kali pertemuan pada setiap semester serta melepasi ujian Mutadayyin yang ditetapkan oleh Pusat Islam USIM.

Mutadayyin yang membawa maksud penghayatan secara teori mahupun praktikal terhadap Syariah Islamiyyah atau dalam erti kata lain, seseorang mahasiswa yang mempunyai penghayatan ilmu agama yang tinggi serta mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan dan pembelajaran secara konsisten. Elemen inilah yang telah mencetuskan pembentukan Liqa’ Universiti dalam melaksanakan usaha USIM ke arah pembentukan Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

-Pengajian Kitab Thurath
Pengajian Kitab Thurath diadakan di 4 tiang seri utama menggunakan kerusi besar sebagai usaha untuk menyuburkan lagi ilmu kampus di USIM. Ilmu pengajian yang diajarkan meliputi bidang Feqah, Tauhid, Adab, Sirah dan Bahasa Arab. Simulasi pengajian kitab yang dipamerkan adalah Pengajian Kitab Thurath, Pengajian Bahasa Arab, Pengajian Al-Quran dan Pendidikan Quran & Sunnah bagi OKU.

-Pelancaran Projek Wakaf Quran Isyarat
Projek wakaf menawarkan enam pakej bagi membangunkan perisian Quran bagi membantu OKU Pekak mempelajari Quran melalui aplikasi mudah alih.

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204

2018-11-23T01:26:36+00:00