MODEL GRADUAN INTEGRASI ILMU NAQLI DAN AQLI USIM

Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM merupakan kerangka utama pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa yang diselaraskan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) sejak tahun 2015. Model ini dibangunkan berasaskan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 yang menekankan usaha melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan. Selaras dengan identiti dan falsafah USIM, Model GIINA memberi penekanan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam membentuk graduan yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara.
Sepanjang pelaksanaannya, Model GIINA telah memberi impak positif kepada pembangunan mahasiswa melalui pengukuhan sahsiah, kemahiran insaniah, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan pengantarabangsaan. Pendekatan ini turut memperkukuh pembentukan graduan yang memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik, nilai kemanusiaan dan keupayaan menghadapi cabaran semasa.
Selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, Model GIINA telah dijajarkan semula bagi memastikan kesinambungan dan kerelevanannya dengan hala tuju pendidikan tinggi negara. Penjajaran ini berpandukan Lonjakan 1 RPTM, iaitu “Pembelajar Berpaksikan Kemanusiaan, Berciri Keusahawanan dan Adaptif”, yang memberi penekanan kepada pembangunan graduan berteraskan nilai kemanusiaan, daya tahan, inovasi dan keterbukaan global.
Dalam konteks ini, elemen kemanusiaan memberi fokus kepada pembentukan graduan yang mempunyai keperibadian holistik merangkumi aspek intelektual, rohani, emosi dan fizikal. Elemen adaptif pula menekankan keupayaan graduan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, memiliki tanggungjawab sosial, keterbukaan antarabangsa serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. Sementara itu, elemen keusahawanan memberi penekanan kepada pembangunan pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya maju bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial.
Bagi memperkukuh pelaksanaan model ini, pelbagai aktiviti pembangunan mahasiswa terus diperkasakan, termasuk program berkaitan kelestarian alam sekitar, kesukarelawanan antarabangsa, pembangunan diri, persediaan kerjaya, literasi digital, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), microcredential dan kebolehpasaran graduan. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan mahasiswa USIM terus bersedia menghadapi keperluan dunia pendidikan dan pekerjaan yang semakin dinamik.
Selaras dengan penjajaran kepada RPTM 2026–2035, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan terhadap komponen Model GIINA, termasuk pengukuhan elemen pengantarabangsaan di bawah komponen adaptif serta penekanan terhadap penguasaan kemahiran insaniah sebagai sebahagian daripada pembangunan nilai kemanusiaan mahasiswa. Pendekatan ini diharap dapat terus memperkukuh peranan Model GIINA dalam melahirkan graduan USIM yang holistik, progresif dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.