Buletin tahmidi debat

/Buletin tahmidi debat
Buletin tahmidi debat 2019-01-29T08:01:19+00:00

TAMHIDI KEKAL KEJUARAAN BERGANDA DEBAT NAIB CANSELOR KALI KE-8


 

NILAI, 15 MAC 2015 –  Kejuaraan bertahan selama dua tahun berturut-turut yang  berjaya dibuktikan oleh  pelajar Tamhidi pada penganjuran Kejohanan Piala Debat Naib Canselor ke- 8 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini ternyata membuka mata ramai pihak mengenai kebolehan dan daya saing yang dimiliki mereka yang juga mampu melangkah jauh setaraf dengan pelajar Siswazah.

Wakil Tamhidi,  Fitriah  Qurratu Aini Jamil berkata, “Walaupun kami tidak mempunyai pengalaman yang banyak, tetapi adanya sokongan daripada tetamu yang datang menyokong membuatkan kami mampu berentap hingga ke peringkat akhir.”

Tambah beliau lagi, “Kesibukan tidak menjadi penghalang kepada mereka memandangkan tarikh peperiksaan semakin hampir, sebaliknya kami merebut peluang yang ada untuk mengasah bakat yang terpendam.”

Program seperti ini sememangnya inisiatif yang berkesan untuk membina pemikiran kreatif di samping melatih daya keyakinan peserta untuk bercakap secara spontan di hadapan khalayak ramai walaupun hanya 30 minit diperuntukkan.

Pertambahan nilai hadiah pada penganjuran kali ini juga membawa kelainan dan tarikan terutamanya kepada barisan peserta yang terlibat. Juara telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1000, Naib Juara telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 dan Pendebat Terbaik bagi setiap kategori telah dinaikkan daripada RM100 ke RM500

Naib Canselor USIM, Prof. Dato Dr. Musa Ahmad berkata, “Isu CGPA 4.0 bukan sekadar atas keputusan akademik, malah menitikberatkan pembangunan nilai tambah pelajar.”

Beliau mengharapkan agar Kelab Debat akan terus aktif dan  menjadi kelab yang disegani malah berjaya bukan hanya di peringkat nasional, malah regional dan global.

Tambah beliau lagi, “ Saya berharap agar komitmen dan usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang bukan untuk kejohanan seperti ini malah untuk aktiviti lain.”

Kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Debat  kali ini  mendapat sambutan yang menggalakkan berbanding tahun lepas dengan pembabitan sebanyak 57 pasukan termasuk pelajar Tamhidi yang melihatkan setiap fakulti menghantar wakil masing-masing untuk setiap kategori bahasa.

“Tahun ini juga mempunyai pelbagai kelainan antaranya, pihak pengurusan Kelab Debat sendiri telah menerima elaun sebanyak RM15 setiap seorang,” ujar Pengarah Program, Amir Najib Abdul Hadi.

“Anjuran kali ini dapat mencungkil bakat baharu pelajar dimana boleh menjadi pelapis bagi pendebat USIM yang sudah sedia ada selain dapat melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis serta dapat menguasai isu-isu semasa,” tambah beliau,

Juara keseluruhan Kejohanan Piala Debat Naib Canselor pada tahun ini telah dirangkul oleh pasukan Tamhidi.  Bagi kategori bahasa, Juara Kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Juara Kategori Bahasa Inggeris dinobatkan kepada pasukan Tamhidi A, dan  Juara Kategori Bahasa Arab pula dirangkul oleh pasukan Tamhidi.

Sementara itu, Pendebat Terbaik bagi ketiga-tiga kategori bahasa telah dinobatkan kepada Nurul Husna As-Saedah, FST (Kategori Bahasa Melayu), Efrianis Arika Hasibuan Efendi, FKP  (Kategori Bahasa Inggeris), dan Muhammad Muzakkir Ahmad Dali,Tamhidi (Kategori Bahasa Arab).