Buletin Pingat Tunku Rahman

/Buletin Pingat Tunku Rahman
Buletin Pingat Tunku Rahman 2019-01-29T08:00:28+00:00

GRADUAN USIM TERIMA PINGAT KECEMERLANGAN TUNKU ABDUL RAHMAN


 

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, 24 mencipta sejarah tersendiri buat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila menjadi graduan pertama USIM menerima Anugerah Pingat Tunku Abdul Rahman sejak ia diperkenalkan oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) pada 2010.

Graduan Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) ini merupakan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja – Pingat Jaya Cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 USIM pada tahun lalu. Iqmal menerima Anugerah Pingat Tunku Abdul Rahman daripada YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTAR dalam satu majlis khas di Memorial Tunku Rahman Putra, Kuala Lumpur.

Beliau yang ditemani kedua ibu-bapanya menerima sebentuk pingat perak padu 32gm dan wang tunai RM 3000. Merupakan seorang pelajar yang cemerlang di dalam akademik dan kokurikulum antaranya menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester pengajian, penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan bagi Kategori Pemimpin Program Pengucapan Awam Terbaik 2013 dan Anugerah Tokoh Perdana Siswa USIM 2013.

Amat aktif dalam bidang pengucapan awam khususnya debat, Iqmal telah dipilih mewakili Malaysia ke World Heritage Youth Forum Qatar 2014.

“Bersyukur dan berbangga dengan penganugerahan ini kerana segala sumbangan dan penglibatan dalam aktiviti khususnya buat Universiti dan juga Malaysia secara umumnya mendapat pengiktirafan oleh YTAR. Ia secara tidak langsung membutikan bahawa mahasiswa keluaran USIM juga mampu bersaing dan mendapat tempat di peringkat kebangsaan,”

“Pemilihan penerima dilakukan oleh satu panel khas yang terdiri daripada Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR.  Seramai 14 orang calon dari seluruh negara disenarai pendek  termasuk saya untuk menjalani sesi temuduga bersama panel ini sebelum mereka memilih calon terbaik bagi menerima anugerah pingat berprestij ini”.

“Alhamdulillah, saya kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat di USIM melaui tajaan Skim Felo Siswazah USIM. Saya menyimpan hasrat yang tinggi untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan kembali mencurah bakti dan ilmu di USIM semula sebagai seorang pensyarah kelak”. Ujarnya.

Menurut YTAR, anugerah ini merupakan symbol penanda aras kecemerlangan bakal pemimpin sejajar dengan matlamat, visi dan misi penubuhan YTAR pada 1966. Pingat ini adalah simbolika usaha yang tidak mengenal penat lelah seorang graduan mendokong aspirasi YTM Tunku serta penubuhan YTAR.

Kecemerlangan sifat kepimpinan yang penuh wibawa, ketinggian akhlak peribadi, pengkayaan kendiri yang berterusan seiringan dengan kecemerlangan academia graduan. Untuk melayakkan diri dipertimbangkan bagi menerima pingat ini, seseorang graduan Sarjana Muda IPTA mesti mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.80 dan sangat aktif serta mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajian.

Pada majlis ini, turut menerima pingat adalah dua orang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seorang daripada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).