Berita Harian GISO Krabi

//Berita Harian GISO Krabi

USIM BANTU PENDUDUK MUSLIM KRABI

GISO KRABI

Naib Canselor serah dua projek prasarana untuk manfaat masyarakat

– oleh Mohd Zaini Othman

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyerahkan secara rasmi dua projek
pembangunan infrastruktur fizikal kekal untuk komuniti Muslim Krabi, Thailand, di sini semalam.

Penyerahan projek itu disempurnakan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad pada majlis khas di Kampung Naiyuan, Daerah Aoluk, Krabi, Thailand.

Projek pembangunan kekal itu membabitkan tiga unit tandas dan tempat wudhuk Masjid Kariah Kampung Naiyuan bagi dimanfaatkan jemaah dan penuntut Madrasah Ban Naiyuankhak dalam kawasan masjid berkenaan.

Projek prasarana fizikal kedua ialah pembinaan kolah wudhuk berbumbung untuk Madrasah Baba Soleh di Kampung Klong Kamau, Daerah Naklong, Krabi. Projek itu disiapkan berperingkat oleh mahasiswa USIM sejak 2007.

NAIK TARAF KELAS

Di kedua-dua madrasah itu juga ,siswa USIM turut membantu menaik taraf dan menambah baik kemudahan kelas pengajaran seperti penggantian kerusi, meja papan hitam dan tingkap kelas yang rosak bagi memberi keselesaan kepada murid terbabit

Majlis penyerahan diadakan bersempena Kembara Mahabbah GISO Krabi 6.0 yang disertai 124 siswa USIM.

Prof Dr Musa berkata, usaha murni ini hasil inisiatif program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM yang disertai siswa USIM membabitkan kos keseluruhan lebih RM50,000 yang berjaya disiapkan akhir tahun lalu.

SUMBANGAN BARANGAN DAPUR

Pada majlis itu, Prof Dr Musa turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada 40 keluarga fakir miskin dan bantuan beg sekolah kepada 50 penerima. USIM turut memberi sumbangan kewangan RM1,500 masing-masing untuk Madrasah Ban Naiyuankhak dan Madrasah Babu Soleh.

2019-04-04T16:37:26+00:00