USIM terima Anugerah Skuad Kor Suksis Terbaik dari Ketua Polis Negara

//USIM terima Anugerah Skuad Kor Suksis Terbaik dari Ketua Polis Negara

NILAI, 21 OGOS 2017 – Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara – Skuad Terbaik Kor Suksis 2017 sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis Universiti Awam ke-13 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Ahad, 20 Ogos.

Pada majlis ini juga, Kor Suksis USIM turut meraih kecemerlangan berganda dengan pencapaian Mohd Afifie Hasbullah, pelajar program Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi apabila dipilih Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Suksis Universiti Awam 2017.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara yang mewakili Ketua Polis Negara di majlis ini. Dua pencapaian cemerlang yang diterima oleh Kor Suksis USIM ini merupakan pencapaian terbaik diterimanya pada masa ini.

Bagi anugerah peringkat USIM, Nor Ifa Siron dianugerahkan Pegawai Terbaik Latihan Akademik; dan Hadi Imran A. Halim dipilih penerima anugerah Pegawai Terbaik Latihan Luar.

Seramai 1251 pelatih Kor Suksis dari 20 buah Universiti Awam termasuk 65 pelatih dari Kor Suksis USIM yang terdiri daripada 32 lelaki dan 33 perempuan terlibat dalam pentauliahan kali ini.

Majlis bermula dengan perbarisan tamat latihan di Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UUM pada sebelah pagi diikuti dengan penyampaian sijil pentauliahan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah UUM.

Kejayaan manis Kor Suksis USIM dalam majlis pentauliahan kali ini turut dikongsi Komandan Kor Suksis USIM, Profesor Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

“Saya mewakili Pengurusan Universiti amat berbangga dengan kejayaan ini dan memuji komitmen dan disiplin tinggi yang sentiasa diberikan oleh para pelatih kita sepanjang mengikuti latihan”.

“Kejayaan ini juga terhasil dari kerjasama erat oleh pengurusan Kor Suksis kita yang terdiri daripada pegawai penyelaras, pegawai kehormat dan paling utama barisan jurulatih yang tidak jemu berkongsi pengalaman dan ilmu mereka dengan para pelatih,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Kor Suksis USIM aktif dalam pelbagai program khidmat komuniti di dalam dan luar negara melalui platform Global Islamic Student Outreach (GISO). Selain itu, mereka turut terlibat dalam menjayakan pelbagai program utama di dalam universiti antaranya Majlis Konvokesyen, kawalan keselamatan, perbarisan serta kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kor Suksis USIM merupakan salah satu kursus badan beruniform berkredit yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM. Siswa universiti yang dipilih oleh PDRM untuk menjadi pelatih akan mengikuti kursus dan latihan selama enam semester (tiga tahun) sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti sebelum ditauliahkan.

Ini merupakan kumpulan (kohot) kesembilan Inspektor Sukarelawan Polis yang telah dilahirkan oleh USIM sejak Kor Suksis USIM mula ditubuhkan pada 2006.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204

2018-11-23T01:23:41+00:00