Kata Aluan Pengarah Hal Ehwal Pelajar

/Kata Aluan Pengarah Hal Ehwal Pelajar
Kata Aluan Pengarah Hal Ehwal Pelajar 2026-05-20T14:52:11+00:00

Warkah Aspirasi Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) USIM

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa yang mengurniakan suluhan akal dan wahyu sebagai kompas kehidupan. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, uswah hasanah yang memandu kemuliaan adab dan ketinggian ilmu.

Pusat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia menggalas mandat utama dalam Memperkasakan Pembangunan Pelajar Berteraskan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli. Seiring dengan naratif nasional di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, PHEP mengiltizamkan suatu anjakan strategik bagi mencanai graduan yang bukan sekadar kompeten secara teknikal, malah memiliki citra Profesional Insani yang unggul. PHEP meyakini bahawa kecemerlangan pendidikan tinggi masa hadapan menuntut sinergi antara kejituan intelek dan keluhuran etika. Justeru, PHEP memacu agenda pembangunan mahasiswa melalui tiga tunjang strategik:

Manifestasi Bakat Terbaik dan Kepimpinan
Selaras dengan lonjakan potensi mahasiswa dalam kerangka RPTM, PHEP menyediakan ekosistem yang dinamik bagi membolehkan mahasiswa meneroka dan menyerlahkan bakat terbaik. Matlamat PHEP adalah untuk melahirkan sosok pemimpin yang memiliki daya saing global serta berjati diri teguh sebagai Profesional Insani yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan tamadun dan ummah.

Mendaya Upaya Kesejahteraan Psikologi
Keunggulan holistik bermula daripada kestabilan rohani dan minda yang sejahtera. PHEP memberikan penekanan kritikal terhadap kesejahteraan psikologi mahasiswa melalui mekanisme bimbingan yang komprehensif. PHEP komited membentuk jiwa mahasiswa yang mempunyai daya tahan (resilience) yang ampuh, sekali gus berupaya mengemudi cabaran akademik dan kehidupan dengan penuh hikmah serta ketenangan.

Melestarikan Kebajikan melalui Santun Siswa
Agenda Kebajikan dizahirkan melalui pendekatan Santun Siswa, di mana setiap sokongan disalurkan dengan penuh rahmah, integriti, dan penghormatan terhadap kemuliaan penuntut ilmu. Melalui pengurusan bantuan yang inklusif, PHEP memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada kelestarian pendidikan, selaras dengan prinsip keterangkuman yang diperjuangkan dalam agenda pendidikan negara.

Sesungguhnya, tempoh pengajian di USIM merupakan fasa transformasi yang kritikal bagi membentuk modal insan yang versatil. PHEP akan terus teguh menyediakan wahana terbaik bagi menyokong perjalanan mahasiswa untuk menjadi graduan yang berwibawa secara profesional serta luhur budi pekertinya. Marilah kita menyatukan tekad dan iltizam untuk menjulang panji USIM di persada global melalui pembentukan mahasiswa yang gilang-gemilang akhlaknya dan terbilang ilmunya.

Sinergi Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, Profesional Insani, Mahasiswa Berbakti

Sekian, Wassalam.

“PHEP komited membentuk jiwa mahasiswa yang mempunyai daya tahan (resilience) yang ampuh, sekali gus berupaya mengemudi cabaran akademik dan kehidupan dengan penuh hikmah serta ketenangan.”