Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya dapat saya merakamkan aluan buat laman web rasmi jabatan ini. Saya dan semua warga Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengalu-alukan kunjungan ke laman web rasmi Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar beriltizam untuk melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berkeusahawanan sejajar dengan halatuju pendidikan tinggi negara. Sehubungan itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar sentiasa berusaha merangka dan melaksanakan program-program berimpak tinggi dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang daripada aspek jasmani, spiritual, emosi dan intelek. Graduan yang holistik dan berdaya gaji tinggi dapat membantu meningkatkan taraf kedudukan Malaysia di mata dunia selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Usaha yang murni ini sentiasa berteraskan kepada kepercayaan kepada Tuhan dan paduan antara ilmu Naqli dan Aqli serta menerapkan nilai-nilai teras Al-Qawiyy Al-Amin sebagaimana yang diaspirasikan oleh Pengurusan Universiti iaitu Amanah, Muafakat, Profesional, Efisien dan Alamiyah dalam misi melahirkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat.
Dalam menyokong usaha USIM melahirkan graduan yang profesional, berintegriti, kompeten dan berdaya saing, setiap pelajar perlulah melengkapkan diri dengan elemen beradab, holistik dan seimbang melalui pemerkasaan kemahiran insaniah (soft skills) dan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA). Gunakanlah masa sepanjang bergelar pelajar USIM ini dengan bergiat aktif dalam aktiviti pembangunan sahsiah pelajar. Nilai tambah ini adalah signifikan untuk melonjakkan kebolehpasaran graduan.
Justeru, diharapkan agar segala maklumat yang terdapat dalam laman web ini dapat menjadi sumber rujukan utama yang relevan dalam melancarkan dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian berkaitan dengan pembangunan sahsiah pelajar. Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga sentiasa bersedia membantu pelajar sekiranya memerlukan. Didoakan agar segala yang dihasratkan akan dapat direalisasikan demi kesejahteraan pelajar, kakitangan USIM dan sejagat. Insyaallah. Amin.
Sekian, terima kasih.
MD. ISHAH RAHMAN
Pengarah Hal Ehwal Pelajar