MODEL GRADUAN INTEGRASI ILMU NAQLI DAN AQLI USIM

Selari dengan falsafah, visi, misi dan objektifnya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam usaha melahirkan graduan kompetitif sebagai sebahagian dari komitmen penting dan berterusannya untuk memenuhi keperluan sumber manusia negara dan ummah, dengan memperkenalkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA).

Melalui model ini, setiap mahasiswa dipandu supaya terlibat dengan pelbagai aktiviti yang menggarap kemahiran serta mencerna sahsiah mereka sebagai modal insan berdaya saing dan berdaya maju di masa akan datang meliputi 21 ciri graduan merangkumi elemen holistik, berkeusahawanan dan seimbang.

Ketiga-tiga elemen teras dalam model ini sangat selari dengan prinsip pembangunan sumber manusia dalam Quran dan Sunnah yang sentiasa menekankan aspek kesyumulan (holistik), keseimbangan dan nilai keusahawanan untuk mendidik sifat kebertanggungjawaban seorang insan, membentuk keperibadiannya sebagai sebaik-baik makhluk dan membina sistem atau kaedah terbaik dalam segala bentuk amalan dan tindakan, selari dengan peranannya sebagai khalifah dan hamba Allah SWT di muka bumi.

Dalam konteks pembentukan modal insan holistik, ayat 200-202 dari surah al-Baqarah memandu kita dengan jelas supaya melihat kehidupan dalam konteks yang menyeluruh serta tidak terikat dengan perspektif sempit kemanusiaan seperti yang dapat dihayati dalam maksud ayat ini:
“..Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia”. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat perhitunganNya.”

Begitu juga dengan aspek seimbang dalam keperibadian seorang insan. Ia sentiasa dititikberatkan oleh Quran sebagaimana contoh yang dapat dicerap dalam ayat 1-11 dari surah al-Mu’minun yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orangorang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

 

 
Klik gambar untuk paparan lebih besar

 Klik gambar untuk paparan lebih besar

Manakala nilai berkeusahawanan dalam pemikiran dan tindakan dengan jelas dapat dilihat dalam kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat dan al-Salaf al-Salih yang menjadikan perniagaaan dan perusahaan sendiri sebagai sumber pendapatan. Malah dalam sebuah hadis riwayat al-Imam Ahmad, ketika ditanya tentang sebaik-baik pekerjaan, Baginda menjawab:

“Jual beli yang bersih dari sebarang penipuan dan pengkhianatan, serta perusahaan seseorang dengan tangannya sendiri.”

Berdasarkan kekuatannya dari sumber dan perspektif Quran dan Sunnah serta dokongannya terhadap aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Model GIINA merupakan teras hala tuju terkini pembangunan mahasiswa/i USIM, seterusnya menerajui integrasi ilmu Naqli dan Aqli di peringkat global menjelang 2025.


    
    
     
     

SIGNATURE@HEP

Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel: +606-798 6157/6158/6159, Faks: +606-798 6155