SISWA USIM BERSAMA BELIA ANTARABANGSA BINCANG WARISAN DUNIA DI QATAR

 

QATAR, 3 Jun 2014 – Satu pengalaman yang amat bermakna kepada Saudara Mohd Iqmal Hisham Kamarudin, pelajar tahun akhir program Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila dipilih mewakili Malaysia ke Persidangan ‘World Heritage Youth Forum’ bertempat  di  Qatar.

Beliau terpilih untuk bersama-sama belia antarabangsa lain yang mewakili 21 kerusi ahli jawatankuasa UNESCO semasa iaitu Algeria, Colombia, Croatia, Finland, Jerman, India, Jamaica, Jepun, Kazakhstan, Korea, Lebanon, Malaysia, Peru, Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Senegal, Serbia, Turkidan Vietnam. Selain itu, persidangan belia pada kali ini turut dihadiri oleh negara-negara jemputan seperti Bahrain, Mesir, Kuwait, Mauritania, Morocco, Oman, Palestin, Arab Saudi dan Sudan.

Persidangan belia ini merupakan satu simulasi yang menyerupai persidangan UNESCO, tetapi ia hanya melibatkan golongan belia yang mewakili Negara masing-masing. Persidangan kali ini merupakan kali yang ketiga seumpamanya diadakan selepas persidangan belia pertama di Kazan, Rusia dikuti SiemRiep, Kemboja menjadi tuan rumah. Persidangan belia yang dilangsungkan pada 3-15 Jun 2014 ini juga diadakan bersempena dengan Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia Kali Ke-38 yang berlangsung pada 15-25 Jun 2014 bertempat di Qatar juga.

Menurut Iqmal, objektif diadakan Persidangan Belia ini untuk memberi kefahaman mengenai Konvensyen 1972 dan cabaran pelaksanaannya; meningkatkan kesedaran terutamanya bagi golongan belia mengenai budaya warisan Negara masing-masing; menerangkan peranan arkeologi awam dan masyarakat setempat dalam pengurusan warisan; melahirkan golongan belia dengan kepakaran berkaitan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan serta mendedahkan kepada golongan belia bagaimana jawatankuasa UNESCO bekerja.

“Simulasi Persidangan Belia pada kali ini telah berlangsung selama 4 hari. Mengambil format dari persidangan sebenar, ianya dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh setiap wakil dari 21 negara kerusi tetap dan kemudiannya pembentangan serta perdebatan agenda-agenda sehingga kepengundian bagi mengesahkan kenyataan bersama dan diakhiri dengan penutupan persidangan dengan membentangkan kenyataan bersama tersebut di pembukaan Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia Kali Ke-38 pada malam 15 Jun 2014.”

Tambahnya lagi “Persidangan kali ini menampakkan sedikit perbezaan apabila wakil-wakil bagi setiap Negara ahli mestilah tidak terdiri dari mereka yang berasal dari negara yang sama. Saya sendiri telah ditugaskan bagi mewakili negara Jamaica. Ini satu peluang dan pendedahan yang amat menarik.”

Semasa persidangan ini, beberapa isu berbangkit turut menjadi bahan perbincangan antaranya tapak warisan dunia diancam bahaya, pertindihan tapak warisan di antara dua negara, kedatangan pelancong yang tidak seimbang ke setiap tapak warisan dan jumlah sekolah UNESCO yang masih sedikit iaitu 54 buah berbanding 981 tapak warisan yang diisytiharkan. Ahli persidangan secara consensus turut memanjangkan beberapa cadangan penyelesaian kepada isu-isu berbangkit ini dan cabaran-cabaran masa hadapan yang perlu didepani secara bersama kepada UNESCO.

Menjadi ‘dutakecil’ Malaysia ke Persidangan ini, Saudara Iqmal dan delegasi lain turut bertukar-tukar keunikan Tapak Warisan Dunia di Negara masing-masing dalam satu sesi pembentangan khas yang diadakan. Malaysia sehingga kini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Mulu, Sarawak ; Taman Negara Kinabalu, Sabah; Melaka dan Georgetown, Sejarah Bandar-Bandar Selat Melaka; dan Tapak Arkeologi Lenggong, Perak.

“Selain persidangan dan pembentangan, kami juga turut di bawa melawat pelbagai lokasi sejarah dan menarik yang terdapat di Qatar antaranya Al-Zubarah Fort, Tapak Arkeologi Al-Zubarah, Tapak Istana Lama Doha, Perkampungan Budaya Katara, Muzium Kesenian Islam (MIA), Souq Waqif dan mengikuti Bengkel Pemuliharaan Barangan Tinggalan Sejarah”

“Harapan saya agar pelaksanaan persidangan belia ini mampu menjadi asas sumbangan golongan belia dalam pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan tapak warisan dunia seterusnya membuka lebih banyak ruang kepada golongan belia untuk sama-sama memperjuangkan kepentingan warisan budaya dan tapak warisan dunia.”

Saudara Mohd Iqmal Hisham Kamarudin merupakan pendebat Bahasa Melayu USIM dan mantan Presiden Kelab Debat Universiti. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Pemimpin Program Pengucapan AwamTerbaik di MajlisAnugerahTokohSiswa2013 Kementerian Pendidikan Malaysia pada Mac lalu.Turut sama mewakili Malaysia ke persidangan ini adalah Saudari Ju Ariana Ibrahim, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel: +606-798 6157/6158/6159, Faks: +606-798 6155