BINA SEMANGAT PELAJAR MELALUI OPS PSIKOSOSIAL PASCA BANJIR

Nilai 24 Mac 2015 – OPS Psikososial Pasca Banjir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjuran Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Malaysia (MAKUMA) dan Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) menyaksikan gabungan tenaga di antara kakitangan dan pelajar-pelajar USIM. Program Ops Psikososial ini melibatkan dua buah kawasan yang terlibat banjir pada tahun lepas iaitu kawasan Gua Musang dan Kuala Krai.

Program 3 hari 2 malam ini bermula pada 22 hingga 24 Mac 2015 melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai dan pelajar Darjah Enam Sekolah Kebangsaan Gua Musang, Gua Musang.

Seramai 83 orang telah terlibat dalam menjayakan program ini iaitu 56 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa/i USIM - gabungan daripada ahli Kelab Pembimbing Rakan Universiti, pelajar-pelajar Program Kaunseling dan Urus Setia Perlindungan Perubatan Pelajar. Manakala 27 orang kakitangan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Kesihatan Universiti,  Jabatan Keselamatan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti turut sama terlibat.

Menurut Muhammad Faris Amran, pengarah program, program ini merupakan suatu bentuk wasilah dan bantuan kepada pelajar-pelajar yang menjadi mangsa banjir supaya lebih bermotivasi melalui aktiviti-aktiviti yang dapat membina kecergasan diri dan pembentukan personaliti. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlibat tetapi juga memberi impak yang besar kepada mahasiswa/i yang yang terlibat sebagai fasilitator. Kemahiran berkomunikasi, berkreativiti dan menyelesaikan masalah perlu ada dalam diri setiap fasilitator supaya dapat membina hubungan yang baik dengan peserta.

Program berunsurkan psikososial ini menampilkan program-program pengisian yang bersifat santai meliputi Terapi Muzik, Taklimat Kesihatan, Pembinaan Profil Diri Pelajar dan Latihan Dinamika Kumpulan. Pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dibantu untuk mengenalpasti kecenderungan personaliti, strategi menyelesaikan masalah serta merancang kerjaya. 

 

 

Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel: +606-798 6157/6158/6159, Faks: +606-798 6155