PENGEMBARAAN USIM GISO

     Ketika siri cereka sains yang popular dekad 90’an The Next Generation pasti ramai di kalangan penontonnya yang mengingati frasa ditayangkan di kaca televisyen, sudah Star Trek: inspirasi di setiap kali permulaan siri tersebut “..to go where no one has gone before..”

     Frasa ringkas seumpama itu sudah semestinya meransang imaginasi penonton untuk turut sama mengikuti pengembaraan antara galaksi yang digambarkan dalam siri tersebut. Sementara menunggu pengembaraan seumpama itu sebagai realiti hidup, sudah pasti kita berupaya memanfaat ransangan imaginasi seperti ini untuk mendorong diri mengambil langkah memulakan pengembaraan masing-masing, kalaupun tidak ke galaksi lain, sekurang-kurangnya ke luar negara.

      Pengembaraan ke luar negara bukanlah sesuatu yang asing. Direkodkan bahawa Ibnu Batutta (1304M – 1377M) sebagai seorang pengembara Muslim yang hebat telah menjelajahi sejauh 117,000km dalam tempoh 30 tahun melangkaui sempadan lebih daripada 30 negara moden yang wujud pada hari ini.

        Catatan pengembaraan Ibnu Batutta yang gah itu tersurat dalam memoirnya yang terkenal berjudul ‘Rehlah Ibnu Battutah” dan sewajarnya mendorong keazaman dan semangat untuk mengembara terutamanya di kalangan anak-anak muda kini.

       Pengembaraan dapat dikaitkan secara langsung dengan peluang untuk meneroka pelbagai pengalaman baru. Dalam konteks anak muda yang menuntut di institusi pengajian tinggi, pengalaman baru yang diteroka ini berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang tidak mungkin dapat dimahiri sepenuhnya tanpa penerokaan melalui pengembaraan di luar sesi pengajaran dan pembelajaran terstruktur di institusi masing-masing.

         Pengalaman baru yang diperolehi di luar sesi pengajaran dan pembelajaran terstruktur tersebut diyakini berkesan melunakkan nurani penuntut di kalangan anak muda yang lazimnya dikaitkan dengan kecenderungan untuk menonjolkan pendirian diri sendiri sekaligus membina keperibadian mereka.

     Memahami keperluan tersebut, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menggerakkan satu pelan penerokaan pengalaman baru yang berstruktur melalui Pengembaraan Global Islamic Students Outreach atau akronimnya GISO.

      Pengembaraan USIM GISO yang dilaksanakan sejak tahun 2011 telah membuka ruang kepada pelajar di peringkat sarjana muda untuk terlibat dalam inisiatif dakwah ke rantau jauh melalui pelbagai aktiviti tujahan kesukarelawanan terutamanya di negara minoriti umat Islam.

         Sepanjang lima (5) tahun penganjurannya dari tahun 2011 hingga tahun 2015, sejumlah 112 pengembaraan dengan penglibatan 2233 pelajar telah dilaksanakan meliputi 18 buah negara termasuklah China, Filipina, Australia, Jepun, Kemboja, Vietnam, Laos, Thailand, Maldives, India, Indonesia, Sri Lanka, Korea Selatan, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Lubnan dan Jordan.

           Kos keseluruhan pelaksanaan pengembaraan ini sepanjang tempoh tersebut mencecah RM5.4 juta dengan kurang daripada 17% ditampung melalui sumbangan USIM manakala selebihnya diusahakan oleh pelajar sendiri melalui tabungan dan aktiviti keusahawanan.

         Dalam usaha membantu pelajar menyediakan tabungan, USIM telah memperkenalkan Yuran Antarabangsa sejak tahun 2011 yang menetapkan supaya pelajar mendeposit sejumlah RM450.00 atau RM75.00 setiap semester selama enam (6) semester mulai semester pertama pengajian. Tabungan tersebut boleh dikeluarkan apabila permohonan pelajar untuk melaksanakan Pengembaraan USIM GISO diluluskan oleh panel penilai yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Selain itu, USIM turut menggalakkan dan memudahkan aktiviti keusahawanan di kalangan pelajar apabila membenarkan kutipan wang dibuat oleh peserta sesuatu aktiviti keusahawanan yang digerakkan melalui badan pelajar berdaftar. Wang tersebut boleh dihimpun dan digunakan oleh pelajar untuk menampung kos pengembaraan mereka.

 

 

 

     

 

 

 

SIGNATURE@HEP

Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel: +606-798 6157/6158/6159, Faks: +606-798 6155